"...Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.." Surah As-Saff ayat 4

Sabtu, 4 September 2010

TAKUT ALLAH JAUHI DOSA




Antara jiwa-jiwa yang mendapat ketenangan adalah mereka yang sentiasa takut kepada yang Maha Pencipta. Jiwa-jiwa bersih ini meletakkan definisi “takut” sesuai pada maksud dan tempatnya. Tidak merasakan takut selain hanya kepada Allah bermaksud meletakkan seluruh rasa tawadduk hanya kepada Allah SWT. Dalam sejarah Rasulullah SAW, baginda dan para sahabat tidak pernah merasa gentir dan takut apabila berhadapan dengan pelbagai musuh ketika di dalam peperangan. Rasulullah SAW meletakkan segala penyerahan jiwa yang berbekalkan usaha dan keberanian serta keyakinan yang teguh kepada Allah SWT. Akhirnya baginda dan para sahabat berjaya mengharungi peperangan dengan memperolehi kemenangan didalam peperangan. Ini kerana, Rasulullah SAW dan para sahabat sentisa merasakan kehadiran Allah dalam segenap kehidupan mereka apatah lagi semasa didalam peperangan serta tidak takut kepada kuasa musuh. Seperti contoh lain, jika seorang pelajar mengatakan “aku takutlah tak dapat jawab soalan bila exam nanti..Matilah aku kalau markah and result aku teruk..” Dalam apa jua keadaan sekalipun, ingatlah bahawa apa matlamat kehidupan kita. Kepada siapakah sebenarnya kita menyembah dan mengesakan diri ?? Mengapakah masih meragui kepada perkara yang telah dijanjikan Allah dan mengapa perlu berasa takut mengharungi liku-liku kehidupan yang akan mendatang sedangkan segala percaturan kehidupan kita Allah jualah yang menguruskannya. Adakah kita tidak pernah memikirkannya?


Takut kepada Allah juga dapat menjauhkan kita dari segala dosa. Memang benar kita bukan manusia yang sempurna tetapi sampai bilakah kita ingin tunduk di atas kelemahan yang ada tanpa tajdid jiwa yang baru? Apabila jiwa yang merasai kekuasaan dan kehebatan serta keagungan yang Maha Agung, secara tidak langsung hati-hati yang suci dan bersih itu juga takut untuk melakukan apa jua bentuk dosa. Ini juga bermaksud, ia merasakan bahawa Allah sentiasa dan selamanya memerhatikan setiap langkah dan tindak-tanduk manusia apatah lagi kejahatan yang dilakukan oleh manusia itu sendiri.


Kini, tidak hairanlah jika kita melihat bahawa telah banyak berlaku kes-kes jenayah yang semakin berleluasa. Ditambahi pula kes pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi yang dilakukan sendiri oleh muda-mudi Islam yang tidak faham apa itu “Islam” . Jika mereka benar-benar faham, penulis pasti masalah sedemikian tidak akan melanda kerana pemantapan akidah yang sangat kukuh merupakan benteng segala kerosakan dan kejahatan. Allah SWT telah berfirman yang bermaksud : “Telah nampak kerosakan di darat dan dilautan disebabkan perbuatan tangan manusia, Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” Surah Ar-Rum ayat 41.


Ini semua bermula daripada kurangnya penghayatan dan pengaplikasian kehidupan Islam dalam amalan seharian. Bila yang sudah cukup, mantapkanlah lagi yang telah sedia ada. Kesimpulannya, takut kepada Allah akan memantapkan akidah serta akan dapat memelihara muslim dari dosa-dosa dan kejahatan sekiranya kita benar-benar memahaminya. Takut kepada manusia tidak akan menguntungkan apa-apa malah menghakis akidah yang sedia ada kerana seolah-olah ia tidak yakin dengan bantuan dan pertolongan Allah SWT. Firman Allah SWT : “Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami mohon pertolongan.” Surah Al-Fatihah ayat 5.


Jagalah hati, jagalah iman. Janganlah khianati nikmat Islam dan anugerah tauhid yang telah dikurniakan. Sesungguhnya Allah sentiasa dan selamanya ada bersama kita….


“..Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan-Nya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu…. ’’ Surah At-Thalaq ayat 3


Wallahu’alam..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan