Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Dr Muhamad Razak Idris menyeru seluruh warga ABIM untuk terus setia kepada gerakan dakwah. Ini kerana cabaran dakwah yang harus dijayakan kini amat mencabar dan menuntut kepada satu tahap kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada gerakan.
Beliau menyeru semua warga ABM untuk bergerak secara berjemaah. “Marilah kita bergerak secara berjemaah demi mengharapkan reda Allah. Untuk itu, kita hendaklah sentiasa memantapkan tarbiyyah diri kita ke arah menjadi seorang pendakwah yang ikhlas dan beradab di dalam setiap gerak usaha dakwah kita”. Muhamad Razak berkata demikian semasa menyampaikan ucapan aluan di Majlis Minum Petang Pusat Pembangunan Wanita (PPW) di Dewan Besar Dar al-Hikmah di sini.
Beliau turut menyeru semua warga mengamalkan sikap rendah diri dan menghayati adab-adab sebagai pendakwah di dalam gerakan Islam. Ini bagi memastikan pandakwah tidak tergelincir dari batas-batas ajaran syariah. “Kita jangan sesekali mudah lalai dan alpa kepada Allah sehingga membawa kita keliru dan tergelincir dari batas-batas syariah Islamiyyah dalam kehidupan kita. Jangan sesekali kerana sedikit kedudukan yang kita miliki, kita sudah berasa sempurna dalam ilmu dan adab sehingga boleh melanggar batas-batas adab hidup berjemaah”, tambah beliau.
Menurut Muhamad Razak lagi, setia di dalam gerakan dakwah amat penting kerana, “kesetiaan kita semua akan memastikan madrasah dakwah kita terus kuat dan ini tentu akan membolehkan kita menyumbang dengan bermakna kepada pembangunan agama di negara kita secara berterusan pada masa akan datang”. Di dalam majlis minum petang tersebut juga, Muhamad Razak meminta semua warga menyumbang tenaga dan kewangan bagi pembangunan PPW. Pusat ini merupakan agensi khusus yang ditubuhkan ABIM bagi menggerakkan program pembangunan keluarga dan wanita.
Kini, PPW akan beroperasi di sebuah rumah yang akan dikenali sebagai “Bayt al-Rahmah”. Rumah ini bertempat di Kampong Melayu Ampang akan berfungsi sebagai pusat kegiatan PPW di samping berperanan sebagai Rumah Perlindungan Sementara bagi wanita-wanita yang menghadapi krisis dan memerlukan pertolongan. PPW juga akan menawarkan khidmat kaunseling dan program latihan kepada wanita-wanita terpilih secara berterusan.
SUMBER : Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan